Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan
penjawat awam akan menerima pemberian faedah pemindahan gaji bersamaan kadar
satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bulan depan.
Menurut jabatan itu, jumlah pemberian faedah pemindahan gaji
berkenaan pada 1 Julai depan akan dikira dengan kadar satu KGT mengikut gred
jawatan atau gred gaji masing-masing.
“Ia adalah eksesais pemberian faedah pemindahan gaji dan
bukan eksesais kenaikan gaji,” kata jabatan itu dalam kenyataannya, semalam.
JPA juga memaklumkan, pelaksanaan eksesais itu susulan
keputusan kerajaan berkaitan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan awam,
landasan kerjaya dan pembetulan kepada masalah struktur gaji.
“Masalah struktur gaji akan diselesaikan sebelum 31 Disember
ini, bukan disebabkan kedudukan seramai 182,434 pegawai yang berada di gaji
maksimum pada 2012,” katanya.
Pekeliling Bilangan 5 JPA
Baru-baru ini, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 JPA
menetapkan, penjawat awam yang layak mendapat satu KGT itu membabitkan semua
kakitangan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) bertaraf tetap, sementara
dan kontrak yang dilantik sebelum 1 Julai 2013 dan sedang berkhidmat pada hari
berkenaan.
Turut layak pegawai yang dipinjam atau ditukar sementara ke
agensi kerajaan, pegawai yang dipinjamkan ke pertubuhan antarabangsa atau
sektor swasta, pegawai yang bercuti bergaji penuh, cuti separuh gaji dan cuti
tanpa gaji serta pegawai yang meninggal dunia pada 1 Julai 2013.
Bagaimanapun, kenaikan itu tidak membabitkan pegawai yang
masih berkhidmat di bawah saraan Laporan Gaji Jawatankuasa Kabinet (JKK) 1976
atau Sistem Saraan Baru (SSB).
Turut tidak layak pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib
dengan hukuman buang kerja berkuat kuasa 1 Julai 2013, pegawai lantikan baru
berkuat kuasa 1 Julai 2013, pegawai yang bersara pada atau sebelum 1 Julai 2013
dan pegawai yang meninggal dunia pada atau sebelum 30 Jun 2013.
Mengikut pekeliling itu, kakitangan yang layak satu KGT
mengikut gred jawatan/gred gaji masing-masing pada 1 Julai 2013 berdasarkan
gaji hakiki pada 30 Jun 2013.
Sumber : Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment